Disalah anggap koma 23 tahun


GAMBAR menunjukkan Houben berkomunikasi dengan menggunakan komputer khas semasa duduk di kerusi rodanya di Institute Weyerke, Heusden-Zolder dekat Liege Belgium kelmarin.


BRUSSELS - Kisah seorang lelaki Belgium, Rom Houben tersilap diagnosis sebagai koma selama 23 tahun tidak dianggap unik berdasarkan satu kajian baru-baru ini.

Pesakit itu merupakan mangsa kemalangan jalan raya pada 1983 ketika berusia 20 tahun dan dia dianggap koma selepas dirawat di sebuah hospital.

Namun, dalam satu ujian perubatan diketuai Profesor Steven Laureys yang dilakukan pada 2006 di Universiti Liege, 90 kilometer dari sini mendapati dia tidak berada dalam keadaan koma.

Dia didapati tidak berada dalam keadaan koma tiga tahun lalu.


GAMBAR fail menunjukkan Josephine Nicolaas Houben menberi minuman kepada anaknya.


Kajian itu mendapati otak mangsa yang kini berumur 46 tahun masih berfungsi tetapi dia tidak mampu berkomunikasi.

Ibunya, Josephine Nicolaas-Houben langsung tidak mempercayai dia koma sejak dua dekad lalu menyebabkan ujian bagi memastikan kedudukan sebenar anaknya itu dibuat oleh profesor tersebut.

"Setiap pesakit sebenarnya perlu menjalani ujian paling kurang 10 kali sebelum disahkan secara rasmi sebagai koma untuk mengelak kes seperti Houben berlaku," kata Laureys.

Penyelidikan terbaru di Belgium itu mendapati ramai doktor dalam kebanyakan kes tersilap mendiagnosis lebih 40 peratus kes pesakit yang diputuskan sebagai koma.


GAMBAR bertarikh 1983 menunjukkan Houben bermain dengan anjingnya seminggu sebelum dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.


Houben, bekas pelajar kejuruteraan dan peminat seni mempertahankan diri memberitahu sebuah akhbar Jerman, dia kaku sekian lama apabila terperangkap di dalam badan sendiri.

Dengan menggunakan sebuah komputer diubah suai khas, dia kini mampu menulis mesej dan menceritakan keadaan dirinya sepanjang menempuh pengalaman pahit semasa dianggap koma.

"Saya mahu menjerit tetapi tiada suara keluar namun akhirnya saya tidak dapat melupakan hari penyelidik-penyelidik mendapati saya disalah diagnosis. Ia umpama hari kelahiran kedua saya," kata Houben. - AFP

0 comments:

Post a Comment