Disalah anggap koma 23 tahun


GAMBAR menunjukkan Houben berkomunikasi dengan menggunakan komputer khas semasa duduk di kerusi rodanya di Institute Weyerke, Heusden-Zolder dekat Liege Belgium kelmarin.


BRUSSELS - Kisah seorang lelaki Belgium, Rom Houben tersilap diagnosis sebagai koma selama 23 tahun tidak dianggap unik berdasarkan satu kajian baru-baru ini.

Pesakit itu merupakan mangsa kemalangan jalan raya pada 1983 ketika berusia 20 tahun dan dia dianggap koma selepas dirawat di sebuah hospital.

Namun, dalam satu ujian perubatan diketuai Profesor Steven Laureys yang dilakukan pada 2006 di Universiti Liege, 90 kilometer dari sini mendapati dia tidak berada dalam keadaan koma.

Dia didapati tidak berada dalam keadaan koma tiga tahun lalu.


GAMBAR fail menunjukkan Josephine Nicolaas Houben menberi minuman kepada anaknya.


Kajian itu mendapati otak mangsa yang kini berumur 46 tahun masih berfungsi tetapi dia tidak mampu berkomunikasi.

Ibunya, Josephine Nicolaas-Houben langsung tidak mempercayai dia koma sejak dua dekad lalu menyebabkan ujian bagi memastikan kedudukan sebenar anaknya itu dibuat oleh profesor tersebut.

"Setiap pesakit sebenarnya perlu menjalani ujian paling kurang 10 kali sebelum disahkan secara rasmi sebagai koma untuk mengelak kes seperti Houben berlaku," kata Laureys.

Penyelidikan terbaru di Belgium itu mendapati ramai doktor dalam kebanyakan kes tersilap mendiagnosis lebih 40 peratus kes pesakit yang diputuskan sebagai koma.


GAMBAR bertarikh 1983 menunjukkan Houben bermain dengan anjingnya seminggu sebelum dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.


Houben, bekas pelajar kejuruteraan dan peminat seni mempertahankan diri memberitahu sebuah akhbar Jerman, dia kaku sekian lama apabila terperangkap di dalam badan sendiri.

Dengan menggunakan sebuah komputer diubah suai khas, dia kini mampu menulis mesej dan menceritakan keadaan dirinya sepanjang menempuh pengalaman pahit semasa dianggap koma.

"Saya mahu menjerit tetapi tiada suara keluar namun akhirnya saya tidak dapat melupakan hari penyelidik-penyelidik mendapati saya disalah diagnosis. Ia umpama hari kelahiran kedua saya," kata Houben. - AFP

ADAT 'PIKULAN' DALAM PERKAHWINAN MASYARAKAT BUMIPUTERA IRANUN SABAH



Mungkin kita akan tertanya-tanya, mungkin juga terkejut apabila mendengar permintaan ‘Hantaran [barian ] dan Mas Kahwin itu' diluar kebiasaan. Atau jarang-jarang kita dengar dalam bahasa perbualan seharian. Mungkin juga hati kita [sipendengar] tertanya-tanya samada yang kita dengar itu betul sebutannya serta menepati adat dan budaya pihak si perempuan, ketika rombongan pihak si lelaki datang bertandang untuk majlis ‘Pagidsa-idsa’ [ peminangan ] yang dilakukan dalam masyarakat bumiputera Iranun di Sabah.


Lebih mengejutkan lagi apabila istilah-istilah yang digunakan oleh wakil pihak si perempuan [ Babai ] itu amat jarang kita dengar dalam pertuturan seharian kita. Hal ini berlaku oleh kerana kebiasanya sesuatu kaum itu, terutamanya masyarakat pribumi Iranun Sabah ini jarang sekali mendedahkan sesuatu adat atau budaya milik mereka kepada pihak kedua atau ketiga [ samada pengkaji, penulis atau media-massa]. Lebih-lebih lagi jika tujuannya hanya semata-mata untuk ingin diberitahu kepada orang di luar lingkungan masyarakat pengamal budaya tersebut.


Pemaparan adat dan budaya Masyarakat pribumi Iranun Sabah ini, jika lakukan tanpa tujuan yang jelas, kemungkinan besar bagi sesetengah orang, terutama penghulu [ Ketua Masyarakat - terutamanya golongan Datu-Datu atau Bai ] mahupun penghulu adat [ Orang Tua / Ketua Kampung ] menganggapnya sebagai suatu perlakuan yang kurang sihat dan boleh menjejaskan nilai adat dan budaya tersebut dari konteks sudut pandangan sesuatu berkenaan.
Ini kerana pemegang adat, terutama golongan bangsawan [Datu-Datu] melihat adat ini sebagai sesuatu yang murni dan perlu dilakukan atau dilafaz dengen penuh beretika. Kerana itu tidak hairanlah jika pihak si lelaki [orang yang bakal meminang] pada kelazimannya - terlebih dahulu mencari seorang jurubicara [ bagi pihak lelaki ] yang faham dan tahu tentang hal-ehwal dan makna adat 'Pikulan' ini.


Maka lantaran itu, sebelum sesuatu majlis peminangan dilakukan, maka pihak lelaki [ wakil] akan terlebih dahulu meresik secara senyap bertanya tentang perihal adat-istiadat si perempuan. Kepentingan merisik secara senyap terasa perlu dibuat atau dilakukan oleh pihak si lelaki terutama jika lelaki [ bakal peminang ] itu bukan dari kumpulan etnik atau lingkungan pengamal budaya masyarakat ini sendiri.


Kebiasaannya, semasa proses merisik dan seterusnya meminang, beberapa ungkapan akan kedengaran daari wakil siperempuan. Antara ungkapan-ungakapan biasa disebut ialah seperti berikut;-

1. Barian

2. Sapi [Lembu]

3. Pelit

4. Sewaka

5. Benga

6. Getas Sarirai

7. Damak

8. Keris

9. Dan sebagainya di samping mas kahwin.


[ Nota:Oleh kerana Masyarakat bumiputera Iranun Sabah adalah seratus peratus beragaama Islam, maka tentu sekali mas kahwinnya adalah selaras seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama].


Namun begitu apa yang menarik dalam adat komuniti ini ialah kesemua adat dan barian [hantaran ] ini dirujuk dalam satu istilah yang disebut ' PIKULAN'. Jumlah pikulan inilah juga yang akan menentukan berapakah sebenarnya nilai barian atau hantaran yang perlu dikeluarkan oleh pihak silelaki kepada keluarga pihak siperempuan.


Apa tanggapan anda terhadap istilah 'Pikulan' ini.? Adakah ia merujuk kepada berat timbangan atau nilai duit wang yang perlu diberikan?. Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Ini kerana 'Pikulan' dalam konteks adat-istiadat peminangan dan perkahwinan masyarakat pribumi Iranun ini sebenarnya merujuk kepada jumlah atau nilai harga ' Lembu atau kerbau' yang bakal diminta oleh pihak si perempuan.


Dalam konteks masyarakat Iranun Sabah, terdapat tiga peringkat adat yang sering diamalkan. Antara adat-adat tersebut ialah ' Adat 7 pikul atau 8 pikul ' Adat 10 pikul dan Adat 15 pikul. Lazimnya adat 7 pikul atau juga 8 pikul adalah untuk golongan orang biasa atau masyarakat umum. Adat 10 pikul adalah untuk golongan Bai. Sementara Adat 15 pikul adalah untuk golongan Datu atau bangsawan. Bagi memudahkan kita memahami asas adat pikulan ini, maka saya perturunkan dibawah ini adat bagi masyarakat kebanyakan, untuk perhatian dan tatapan anda semua.


ADAT 7 PIKUL [ PEREMPUAN] - GOLONGAN MASYARAKAT UMUM.


1. Elaga - 7 Pikul
2. Barian [ Hantaran] - [ 5 Ekor lembu / kerbau ]
3. Pelit - 2 pikul [ untuk nenek lelaki si perempuan ]
4. Sewaka - 1 pikul [ untuk nenek perempuan ]
5. Benga - 1 pikul [ ketua adat / ketua kampung]
6. Getas Sarirai - 1 pikul [jurubicara adat / pemuda cara ]
7. Hulu adamak - 1 pikul [ tetamu jemputan / yang menyambut pengantin lelaki ]
8. Keramaian - 1 pikul [ pekerja dapur ]
9. Mas kahwin - RM 100.00 [ hak mutlak pengantin perempuan ]
10. Jurunikah - 5 pikul [ RM 100.00]
11. Saksi - [ nilai ditetapkan oleh pihak pberkuasa agama ]
12. Usunan - Sebuah kenderaan yang diperbuat daripada bambo [ buluh ].


Namun demikian, janganlah anda terkejut jika nilai pikulan juga boleh digantikan [ditukar dengan wang yang cuma nilainya berjumlahRM:20.00 ringgit. Percaya tidak? Namun apapun sebenar adat ini bukanlah sesuatu yang mutlak. Ia akan bergantung kepada berbincangan dan perundingan antara pihak perempuan dan juga pihak si lelaki.


Semoga apa yang saya paparkan ini akan memberikan asas pengetahuan dan pemahaman anda terhadap adat masyarakat atau komuniti ini. Saya berharap pemaparan ini akan memberikan manfaat terutama kepada pihak lelaki yang berhasrat meminang atau berkahwin dengan si gadis daripada masyarakat Iranun pribumi Sabah ini.